FELDA Tenggaroh 2
Johor Darul Ta'zim
Kesihatan
Indeks Artikel
Kesihatan
Artikel Asal
Semua Halaman

alt

The Malaysian Cohort Memantau Kesihatan

Pada bulan Mac hingga April 2009 yang lalu, program pemeriksaan kesihatan secara percuma telah diadakan di Dewan Serba Guna FELDA Tenggaroh 2 bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Program pemeriksaan yang dijalankan oleh The Malaysian Cohort hanya terbuka kepada penduduk di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang berumur antara 40 tahun hingga 65 tahun.

Projek The Malaysian Cohort merupakan sebuah projek kebangsaan yang dipersetujui oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 2004 dan diluluskan oleh Kabinet pada tahun 2005. Ia merupakan sebahagian daripada projek Asia Cohort Consortium, iaitu konsortium penyelidikan antarabangsa yang melibatkan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan, Korea Selatan, China, India, Singapura dan Malaysia. Konsortium tersebut bergabung tenaga dari segi sumber dan kepakaran untuk mengkaji interaksi gen, persekitaran dan cara hidup yang menyebabkan penyakit.

Antara perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh pegawai The Malaysian Cohort ialah pemeriksaan tekanan darah, ujian fungsi jantung (EKG), paru-paru (spirometri), glukosa serta kolesterol, analisis komposisi badan dan pengukuran indeks jisim tubuh, ukur lilit pinggang serta pinggul. Sebelum pemeriksaan dijalankan, penduduk FELDA diberi taklimat terlebih dahulu. Keizinan daripada penduduk juga perlu didapatkan kerana maklumat-maklumat tentang mereka nanti akan dikumpulkan menjadi data projek The Malaysia Cohort. Selepas itu, penduduk yang terlibat akan ditemu duga untuk kaji selidik.

Projek The Malaysian Cohort melibatkan pengumpulan maklumat kesihatan, pemakanan, gaya hidup dan biospesimen darah serta air kencing daripada penduduk untuk mengenal pasti punca pelbagai penyakit seperti kanser, kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan sebagainya. Maklumat-maklumat tersebut kemudiannya akan dikumpulkan dan digunakan untuk pembangunan pangkalan data yang berharga serta bank biospesimen. Pangkalan data tersebut akan menjadi sumber kebangsaan untuk penyelidikan seterusnya dan dihubungkan dengan pangkalan data antarabangsa.

Penduduk yang membuat pemeriksaan dengan The Malaysian Cohort turut diberikan cenderamata khas sebagai tanda penghargaan menjadi sukarelawan untuk projek tersebut. The Malaysian Cohort akan melakukan lawatan ulangan setiap tiga tahun. (Kemas kini: 25 Jun 2009)

 


Perkhidmatan Memuaskan

Penduduk FELDA Tenggaroh 2 mendapatkan rawatan kesihatan dan rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Tenggaroh 02 dan di sebuah klinik swasta iaitu Poliklinik Penawar. Klinik Kesihatan Tenggaroh 02 merupakan pusat rawatan terawal di kampung ini dan kini mempunyai dua bangunan berasingan iaitu satu untuk pesakit luar dan satu lagi untuk klinik ibu dan anak.

Klinik Kesihatan Tenggaroh 02 di buka dari jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang, setiap hari Isnin sehingga Jumaat. Klinik pesakit luar memberikan perkhidmatan seperti rawatan kecederaan ringan, pengambilan ujian darah, pemeriksaan kesihatan, Pap Smear dan lain-lain perkhidmatan termasuk klinik pergigian yang di buka pada minggu pertama dan ketiga dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang.

Manakala klinik ibu dan anak menyediakan perkhidmatan seperti rawatan ibu-ibu mengandung, masalah kesihatan ibu mengandung, kesihatan bayi baru lahir dan lawatan ke rumah-rumah. Jenis rawatan yang disediakan oleh klinik swasta di Poliklinik Penawar termasuklah pembedahan kecil, ujian darah, masalah pendengaran, mesin sedutan dan ultrabunyi.

 

 

Terakhir Dikemaskini pada Isnin, 19 April 2010 05:33
 

Perpustakaan Desa FELDA Tenggaroh 2, FELDA Tenggaroh 2, 86800 Mersing, Johor Darul Takzim.

Hit Paparan Kandungan : 27916
Kemas Kini :
13-06-2013 01:48