|
Laman 1 dari 2 
Kerepek Pisang Rohani
Kerepek pisang keluaran Awani Enterprise yang diusahakan oleh Rohani Madzlan sejak 12 tahun yang lalu sudah terkenal di seluruh Negeri Perak. Pada peringkat awal penglibatannya pada tahun 1989, Rohani hanya menggunakan modal sebanyak RM50.00 dan kerepeknya di jual di kantin-kantin sekolah sekitar Bandar Ipoh. Namun usahanya itu mula menampakkan hasil apabila beliau berjaya meraih keuntungan sebanyak RM3,000 dalam masa tiga bulan. Kini Rohani tidak perlu berasa bimbang lagi kerana perusahaan kerepek pisangnya sudah berjaya dipasarkan ke serata pasar raya di Negeri Kelantan, Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor.
Kerepek pisang Rohani yang dihasilkan dalam dua perisa iaitu rasa manis dan masin. Beliau menggunakan pisang abu yang ditanam sendiri oleh suaminya dan ada juga yang dibeli daripada pemilik kebun di sekitar Kampung Baru Manjoi, Kampung Kepayang Sungai Raia dan Kampung Tualang Tujuh. Menurut Rohani, beliau membeli pisang dengan harga antara RM0.90 hingga RM1.30 sekilogram mengikut harga pasaran. Setiap hari beliau akan mengeluarkan kira-kira 300 kilogram kerepek pisang atau kira-kira 3,000 kilogram seminggu. Kata Rohani, setiap 100 kilogram pisang memerlukan 10 kilogram gula untuk menghasilkan kerepek pisang berperisa manis atau satu kilogram garam untuk kerepek pisang berperisa masin dengan menggunakan minyak masak kira-kira 15 kilogram.
Pisang yang sudah dikupas kulitnya akan direndam selama kira-kira 24 jam menggunakan air yang dicampurkan kapur putih bertujuan untuk membuang sisa getah. Setelah itu pisang berkenaan akan dipotong sebesar 10 sentimeter panjang menggunakan mesin pemotong. Kemudian, ia akan digaul dengan gula atau garam juga menggunakan mesin dan kemudiannya digoreng menggunakan minyak masak yang telah dipanaskan selama satu jam. Pisang yang sudah digoreng akan disejukkan selama 10 minit sebelum dibungkus dengan menggunakan plastik mengikut berat tertentu. Kerepek keluarannya seberat 20 gram dijual dengan harga RM0.30, bungkusan 40 gram dengan harga RM0.50, bungkusan 100 gram dengan RM1.00 dan bungkusan seberat satu kilogram RM10.00. Rohani mampu memperoleh pendapatan sebulan sebanyak RM5,000 dengan bantuan lima orang pekerja. (Kemas Kini: 8 Oktober 2009 - Oleh: Norjimi Azmi Latif)
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 29 April 2010 09:57 |