Kampung Bukit Garam
Sabah Negeri Di Bawah bayu
Kesihatan
Indeks Artikel
Kesihatan
Kemas Kini: 16 Julai 2010
Artikel Asal
Semua Halaman

alt

Sejarah Perkhidmatan Kesihatan

Berikutan sejarah perkhidmatan kesihatan di Kinabatangan yang bermula dengan kewujudan Klinik Kesihatan Bukit Garam, jadi tidak hairanlah sehingga ke hari ini klinik ini terkenal dengan jolokan ‘Hospital Bukit Garam’. Menurut sejarah, perkhidmatan kesihatan di Daerah Kinabatangan dikatakan bermula dengan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Garam pada tahun 1945. Bangunan kayu kecil klinik tersebut pada ketika itu hanya menempatkan empat buah katil bagi memenuhi keperluan penduduk setempat. Kemudian pada 1999, seiring dengan pembangunan di Kinabatangan, sebuah hospital telah dibina dengan kelengkapan 68 buah katil dan kemudiannya menggantikan Klinik Kesihatan Bukit Garam sebagai pusat kesihatan utama. Walaupun demikian, Klinik Kesihatan Bukit Garam tetap kekal memainkan peranannya dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan operasinya seperti Kampung Nusa Jaya, Seri Tanjung, Muhibbah Hujung, Danau Ria, Perkampungan Kuamut dan penduduk di Pekan Bukit Garam sendiri.

Difahamkan, operasi di Hospital Kinabatangan bermula dengan pembukaan Unit Kecemasan dan Pesakit Luar pada 17 Julai 1999. Sementara, Unit Pesakit Dalam pula beroperasi pada 6 Ogos 1999 serentak dengan pembukaan wad Obstetrik dan Ginekologi serta wad lelaki, manakala wad wanita dan kanak-kanak merupakan wad terakhir dibuka pada 2 Oktober tahun yang sama. Selain itu, pembukaan hospital ini juga dikatakan dirintis oleh 50 kakitangan. Mereka merupakan kumpulan pertama yang bukan sahaja bertindak sebagai golongan profesional dalam bidang masing-masing, malah mereka jugalah yang bertindak menyusun kelengkapan perabot hospital, menjadi pereka dalaman dan tukang kebun dan kini jumlah Hospital Kinabatangan mempunyai lebih 100 kakitangan. Perasmian Hospital Kinabatangan telah disempurnakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 26 Februari 2002. Beliau pada ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. (KK8: 11 Jan 2011 – Oleh: Jawlinda Zeno Jawi)


 

Semburan Kabus Perangi Denggi

Kes demam denggi yang dilaporkan meningkat secara mendadak di seluruh negara mendorong Kementerian Kesihatan Malaysia mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap wabak berkenaan bagi mengelak lebih ramai rakyat dijangkiti penyakit berbahaya itu.  Selaras itu, Klinik Kesihatan Bukit Garam melalui Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor turut mengadakan kempen pencegahan dan program semburan kabus (fogging) di enam buah perkampungan dalam kawasan operasinya iaitu Kampung Nusa Jaya, Seri Tanjung, Muhibbah Hujung, Danau Ria, Perkampungan Kuamut dan Pekan Bukit Garam sebagai langkah pencegahan awal.

Pengerusi JKKK Kampung Bukit Garam, Ismail Zainal memaklumkan, program yang bermula pada pertengahan Jun sehingga Julai 2010 tersebut berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat.  Bagaimanapun, penduduk di kampung-kampung terbabit turut dimaklumkan bahawa langkah pencegahan menggunakan semburan kabus atau ‘fogging’ hanya bersifat sementara dan hanya boleh membunuh nyamuk dewasa dan bukan jentik-jentik.  Oleh yang demikian penduduk dinasihatkan supaya meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit bersama keluarga melakukan pemeriksaan dengan cara mengenal pasti dan memusnahkan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar kawasan luar dan dalam rumah.  Pada masa yang sama, mereka yang mengalami gejala-gejala penyakit denggi diingatkan supaya segera mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran.

Penyakit denggi merupakan penyakit bawaan nyamuk aedes yang boleh berjangkit dan membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan segera.  Denggi boleh terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada gigitan nyamuk aedes.  Terdapat dua jenis penyakit denggi iaitu deman denggi klasikal dan demam denggi berdarah.  Pesakit demam denggi klasikal selalunya akan mengalami demam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot.  Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian.  Sementara pesakit demam denggi berdarah pada peringkat awal akan mengalami gejala yang sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti gejala yang teruk seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah pada badan, pendarahan gusi, berak berdarah disertai dengan sawan dan tidak sedarkan diri.  Demam denggi berdarah sering menyebabkan kematian sekiranya rawatan tidak diberikan dengan segera.  (KK6:  16 Julai 2010 – Oleh:  Jawlinda Zeno Jawi)


Kesihatan Tanggungjawab Individu

Penduduk di Kampung Bukit Garam mendapat rawatan kesihatan di Klinik Kesihatan Bukit Garam. Antara perkhidmatan kesihatan yang disediakan di Klinik Kesihatan Bukit Garam ini ialah seperti penjagaan kesihatan primer yang meliputi rawatan pesakit luar, farmasi, makmal dan kawalan penyakit bawaan vektor. Selain itu, perkhidmatan lain di klinik ini ialah seperti penjagaan kesihatan ibu dan anak serta klinik pergigian.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Klinik Kesihatan Bukit Garam ini adalah seperti pemeriksaan darah, penyiasatan kes malaria, semburan ‘Icon’ untuk kawalan Malaria dan sebagainya.

Klinik ini beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat. Pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke Hospital Besar Kota Kinabatangan yang terletak kira-kira 12.9 km.

Terakhir Dikemaskini pada Rabu, 18 Mei 2011 03:25
 

Klinik Kesihatan Bukit Garam, W.D.T 40, 90200 Kota Kinabatangan, Sabah Negeri Di Bawah Bayu.

Hit Paparan Kandungan : 16708
Kemas Kini :
09-05-2013 07:26