|

Perpustakaan Sumber Ilmu Dan Maklumat
Perpustakaan Bumbok telah ditubuhkan pada tahun 1990 yang ketika itu penubuhannya dipersetujui oleh Kuching Rural District Council (KRDC). Ia kemudian telah dirasmikan pada 18 Ogos 1992 oleh YB Dato Alfred Yap Chin Loi. Perpustakaan itu dibuka bagi memberi perkhidmatan membaca dan maklumat kepada masyarakat setempat. Namun, apabila ledakan teknologi maklumat melanda negara, fungsi perpustakaan turut berkembang dengan memuatkan kemudahan dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Bagi mencapai matlamat itu, perpustakaan ini juga telah dipilih untuk menerima kemudahan di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK). Projek itu juga turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan dan pihak swasta yang lain. Program yang bermatlamatkan untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar ini memberi peluang kepada penduduk kampung untuk mempelajari dan menggunakan teknologi maklumat. Justeru, perpustakaan ini telah menerima dua buah komputer, sebuah mesin pencetak dan sebuah mesin pengimbas lengkap dengan kemudahan Internet. Sejumlah 7,875 buah buku terdapat di sini. Perpustakaan ini diuruskan oleh Pembantu Perpustakaan, Sukinah Taha, yang telah bertugas semenjak tahun 1998. Sehingga kini, ia mempunyai seramai 870 orang ahli yang kebanyakannya ialah golongan pelajar sekolah di kawasan sekitar. Pada tahun 2001 perpustakaan ini pernah mendapat tempat pertama sebagai perpustakaan desa terbaik menerusi penilaian Majlis Daerah Padawan.
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Rabu, 26 Mei 2010 08:03 |