Kampung Ensiring
Sarawak Bumi Kenyalang
Kesihatan
Indeks Artikel
Kesihatan
Kemas Kini: 11 Jul 2011
Kemas Kini: 22 April 2011
Kemas Kini: 13 Jan 2011
Kemas Kini: 1 Jul 2010
Kemas kini: 28 Dis 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

kk11_ensiring_kesihatan

Kem Kesihatan Warga Emas

Kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan di kalangan warga emas semakin meningkat apabila seramai 100 peserta di kalangan usia 55 hingga 80 tahun menyertai Kem Kesihatan Warga Emas pada 21 September 2011 lalu. Menurut petugas Klinik Kesihatan (KK) Ensiring, Rodney Ngalayang, program anjuran Panel Penasihat KK Ensiring itu berlangsung di Rumah Lugum, Nanga Taba. Kem sehari suntuk yang dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei tersebut membabitkan seramai 18 kakitangan termasuk dari KK Julau. Menurut Rodney, penghuni rumah panjang Michael, Unjong, Ensiring dan Jayan antara peserta dari 13 buah rumah panjang terlibat dalam kem yang diadakan setiap tahun itu. Usaha mengadakan kem kesihatan itu seharusnya dipuji kerana ia memberi peluang kepada penduduk di pedalaman khususnya mendapat pemeriksaan kesihatan secara lebih dekat. Ini kerana hospital yang paling hampir dengan rumah-rumah panjang berkenaan adalah Hospital Sarikei yang mengambil masa lapan jam perjalanan.

Menurut Rodney, semua peserta menjalani saringan kesihatan meliputi pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dalam badan dan penjagaan mata khususnya pencegahan kebutaan. Menurut beliau, dari hasil pemeriksaan, kebanyakan warga emas tersebut menghadapi masalah tekanan darah tinggi dan katarak. Bagi kes-kes sebegitu, mereka biasanya akan dirujuk ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan. Agenda program tidak terhenti setakat pemeriksaan kesihatan kerana ia turut meliputi beberapa sesi ceramah oleh petugas kesihatan terlibat. Pada sebelah petangnya, peserta mengikuti ceramah berkaitan pap smear oleh Jururawat Masyarakat dari KK Julau. Seterusnya ceramah tentang pemakanan dan panduan penjagaan oleh petugas KK Sekalong. Malah Rodney sendiri sempat berkongsi tip dalam ceramahnya mengenai senaman di usia emas. Sebelum itu, seramai 30 peserta turut mengikuti senam robik dan acara memotong kek yang menyusul pada sebelah malam. Sijil-sijil penghargaan turut disampaikan kepada semua tuai rumah terlibat. Program berakhir seawal pagi dengan karaoke bersama warga emas terlibat. (KK11: 28 September 2011 – Oleh: Zanariah Abdullah)


 

alt

Lawatan Perubatan

Alah bisa tegal biasa, demi memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik buat penduduk, petugas Klinik Kesihatan (KK) Nanga Ensiring sanggup menempuh perjalanan berjam lamanya mengharungi arus deras sungai di kawasan pedalaman Sarawak untuk sampai ke destinasi. Meskipun berdepan dengan pelbagai risiko semasa perjalanan menaiki perahu, perasaan gentar sedikit pun tidak hadir dalam diri petugas KK Ensiring, Rodney Ngalayang dan rakan setugas semasa mengadakan lawatan perubatan di Nanga Nyilau, Ulu Ensiring pada Mei 2011 lalu. Beliau bersama Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan dan Pembantu Perahu berkunjung ke rumah panjang tersebut yang jaraknya empat jam dari KK Ensiring dua atau tiga bulan sekali untuk memeriksa tahap kesihatan masyarakat di situ. Menurut Rodney, seramai 50 penduduk menjalani pemeriksaan pada hari tersebut. Kebanyakan mereka membuat pemeriksaan susulan bagi pesakit darah tinggi dan kencing manis selain demam dan batuk biasa.

Seperti yang diketahui, kawasan pedalaman Sarawak sememangnya serba kekurangan dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan tidak semua kawasan mempunyai klinik desa. Malah, ada kalangan penduduk yang lebih rela menahan sakit di rumah daripada menanggung kos pengangkutan yang amat tinggi terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Justeru, usaha murni yang dilakukan oleh Rodney dan rakan seperjuangan harus dipuji dan dicontohi oleh petugas klinik lain. Sementara itu, cadangan mewujudkan klinik bergerak yang julung kali dilaksanakan di negara ini di bawah konsep '1Malaysia Hospital Bergerak' adalah tepat pada masanya. Konsep berkenaan diperkenalkan bagi memastikan 25 peratus kawasan pedalaman seluruh negara yang berada di luar lingkungan 25 kilometer dari pusat perubatan dan kesihatan terdekat bakal menikmati kemudahan kesihatan. Perahu yang diubahsuai kepada sebuah klinik itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas perubatan dan dikendalikan oleh doktor dan jururawat berpengalaman. (KK10: 11 Julai 2011 – Oleh: Zanariah Abdullah)

 


 

Panel Penasihat Tunai Tanggungjawab

Pemilihan Panel Penasihat sesi 2011-2013 telah dijalankan pada 18 April 2011 lalu di Klinik Kesihatan (KK) Ensiring. Menurut Petugas KK, Rodney Ngalang, majlis dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Seramai 18 panel telah dipilih untuk sesi kali terdiri daripada tuai rumah, orang awam dan kakitangan sekolah berhampiran. Menurut beliau, TR Michael dipilih sebagai Pengerusi yang baru dan jawatan Naib Pengerusi pula diserahkan kepada Mark Rodney. Jawatan Setiausaha dipegang oleh TR Lugum di mana Jamal Ramli bertindak sebagai Pembantu Setiausaha. Ngali pula bertindak sebagai Bendahari dan Genod Bulukon sebagai pembantu. Tidak ketinggalan ahli jawatankuasa (AJK) turut dipilih terdiri daripada TR Jayan, TR Kedu, TR Nyayang, TR Marau, Gira Medan, Kusau Pata, Denis Agit,  Millin Bandau, TR Unjong dan TR Belawan. Kesemua ahli dipilih menerusi undian secara rawak. Kesemua ahli yang dilantik bertekad untuk terus berusaha menjalankan amanah yang diberikan selain memperhebatkan aktiviti-aktiviti kesihatan di situ.

Sememangnya masyarakat amat menghormati panel penasihat di tempat mereka, justeru mereka yang terlibat harus menunjukkan teladan dan berkhidmat bersungguh-sungguh dalam memberi input kepada pihak klinik tentang keperluan masyarakat. Rentetan itu, satu gotong-royong besar-besaran telah diadakan pada 20 April 2011 yang lalu untuk membersihkan persekitaran KK Ensiring. Program anjuran bersama pihak klinik dan panel klinik terlibat disertai seramai 70 orang kampung termasuk panel penasihat yang dilantik dua hari sebelumnya. Penduduk dari lapan buah rumah panjang di situ turut terbabit dalam program hari itu. Antara yang dilakukan ialah menebas semak di kawasan klinik dan membuat dua lubang sampah baru. Sesungguhnya penglibatan masyarakat secara berkumpulan dan individu merupakan strategi terbaik dalam usaha menangani isu kesihatan di setiap kawasan. (KK9: 22 April 2011 – Oleh: Zanariah Abdullah)

 


 

Menabur Bakti Di Kawasan Pedalaman

Seperti guru, tidak semua bernasib baik ditempatkan di kawasan bandar. Ada yang ‘terpilih’ berbakti kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang ada kalanya hanya boleh menggunakan kenderaan tertentu selama berjam-jam untuk sampai ke destinasi. Itulah antara cabaran yang dihadapi oleh salah seorang petugas di Klinik Kesihatan Nanga Ensiring, Mark Rodney Ngalayang, 26, yang mula berkhidmat di klinik ini sejak 5 September 2008 lagi. Menceritakan pengalaman awalnya ketika dihantar bertugas di klinik ini, Mark memberitahu, untuk sampai ke destinasi dia terpaksa melalui perjalanan darat selama enam jam dari Sarikei ke Nanga Entabai dan seterusnya empat jam perjalanan menaiki perahu menyusuri sungai berjeram dari Nanga Entabai ke Ensiring. Jelasnya, sekiranya musim ‘langkang’ (air cetek), perjalanan ke klinik boleh memakan masa enam hingga tujuh jam.

Berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Nanga Ensiring, Mark tidak pernah menganggap segala cabaran yang dihadapinya sepanjang bertugas di tempat ini sebagai peluntur semangat. Menurutnya, ketiadaan kemudahan infrastruktur yang sempurna seperti jalan raya, elektrik dan bekalan air bersih cumalah cabaran biasa jika dibandingkan dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi sekiranya terdapat kes-kes kecemasan. Menurut Mark, pesakit yang memerlukan rawatan lanjut terpaksa dihantar ke hospital berdekatan seperti Hospital Sarikei atau Hospital Sibu yang mengambil masa lapan jam untuk sampai. Selain itu katanya, situasi agak sukar terutama sekali jika berlaku kes kecemasan pada waktu malam kerana mereka dan juga pesakit terpaksa berhadapan dengan bahaya semasa menyusuri sungai dengan menaiki perahu terutamanya ketika musim ‘langkang’ dan musim ‘bah’ (air pasang besar) selain terdapat jeram yang berbahaya.

Difahamkan, kawasan operasi Klinik Kesihatan Nanga Ensiring meliputi 14 buah kawasan rumah panjang dan dua buah sekolah rendah. Rumah Nyayang di Nanga Nilau dikatakan antara kawasan yang mencabar untuk dilawati. Untuk sampai ke Nanga Nilau, para petugas klinik yang mengadakan lawatan kesihatan bergerak perlu menaiki perahu selama tiga jam untuk sampai ke tempat yang dituju, itu pun sekiranya bukan pada musim ‘langkang’. Sekiranya pada musim tersebut, mereka terpaksa ‘bebatak perau’ (menarik perahu) dan boleh memakan masa sehari untuk sampai ke destinasi. Selain itu, mereka juga berhadapan dengan risiko perahu karam terutamanya ketika melalui jeram Wong Giam dan Wong Kejati. Tetapi apa yang menarik, mereka berpeluang untuk menikmati keindahan alam di sepanjang perjalanan yang sedikit sebanyak menghibur dan membakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. (KK8: 13 Januari 2011 – Oleh: Jawlinda Zeno Jawi)

 


 

 

Perkhidmatan Kesihatan Bergerak

Tanggungjawab memastikan kesihatan seluruh penduduk di satu-satu kawasan itu mendapat perhatian sewajarnya bukanlah suatu tugas yang mudah bagi sesebuah klinik kesihatan. Usaha dan komitmen berterusan perlu wujud dalam diri setiap kaki tangan klinik bagi memastikan matlamat untuk meningkatkan taraf kesihatan penduduk di kawasan operasi mereka tercapai. Untuk mencapai matlamat tersebut, Klinik Nanga Ensiring mengadakan Perkhidmatan Kesihatan Bergerak ke rumah-rumah panjang mengikut jadual yang ditetapkan bertujuan memberi rawatan kesihatan kepada penduduk khususnya warga emas, wanita dan kanak-kanak. Selain itu, pemeriksaan kebersihan di sekitar kawasan tempat tinggal penduduk juga turut diberi perhatian oleh pihak klinik. Langkah ini juga bagi mengurangkan kadar kejadian penyakit berjangkit di kalangan penduduk rumah panjang.

Kakitangan Klinik Kesihatan Nanga Ensiring juga sentiasa komited dalam melaksanakan tugas mereka dengan mengambil kira semua aspek dalam bidang tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Tugas mereka turut merangkumi pemantauan kesihatan murid-murid di sekolah-sekolah yang terletak dalam lingkungan kawasan operasi klinik. Justeru, klinik sering mengadakan lawatan ke sekolah terbabit menerusi program Perkhidmatan Kesihatan Sekolah. Sekolah Kebangsaan (SK) Ensiring dan SK Nanga Jambu merupakan dua buah sekolah rendah yang terletak dalam lingkungan kawasan operasi Klinik Kesihatan Nanga Ensiring. Perkhidmatan kesihatan sekolah merupakan salah satu perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya kepada murid-murid di sekolah-sekolah bantuan kerajaan di seluruh Malaysia. Di bawah perkhidmatan ini, murid-murid akan menerima perkhidmatan pencegahan penyakit, saringan kesihatan, rawatan ringan dan rujukan ke klinik atau hospital. (KK5: 1 Julai 2010 – Oleh: Jawlinda Zeno Jawi)

 

 


 

 

Pemeriksaan Kesihatan Kaum Wanita

Klinik Kesihatan (KK) Ensiring telah menganjurkan Ceramah Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) kepada penduduk Kampung Engsiring pada 22 Disember 2009 lalu. Meskipun hanya dihadiri seramai 15 orang wanita, ceramah yang bermula jam 9.00 hingga 10.30 pagi itu tetap berjalan lancar dan sesi soal jawab berlangsung dengan memuaskan. Jururawat Masyarakat KK Ensiring, Norin Tuah bertanggungjawab mengendalikan ceramah tersebut dengan memberi penerangan dan menunjukkan demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara. Menurut beliau, ceramah ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran golongan wanita di kawasan pedalaman mengenai kanser payudara yang diketahui umum sebagai pembunuh utama kaum wanita itu. Melalui ceramah tersebut juga hadirin didedahkan dengan cara dan langkah awal yang harus dilakukan untuk menangani kanser payudara sebelum ia mencapai tahap kritikal.

Norin menyeru agar golongan wanita yang sudah akil baligh agar melakukan pemeriksaan payudara sendiri secara bulanan di samping melakukan pemeriksaan di pusat kesihatan yang berhampiran. Di samping itu, Norin menegaskan bahawa pengesanan awal kanser payudara bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa malah mengurangkan kesengsaraan dan kos perubatan yang perlu ditanggung oleh pesakit. Setelah memberi penerangan mengenai pengesanan dan pencegahan kanser payudara, Norin melakukan demonstrasi pemeriksaan payudara yang boleh dilakukan sendiri oleh golongan wanita ketika berada di rumah. (Kemas kini: 28 Disember 2009)

 

 


Kesihatan Penduduk Diutamakan

Selain mempunyai kemudahan asas, kesihatan penduduk kampung tetap di ambil berat oleh kerajaan. Justeru, Kampung Nanga Ensiring juga memiliki klinik desanya sendiri. Klinik Desa Kampung Nanga Ensiring yang terletak bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ensiring mempunyai lima orang kaki tangan yang bersedia membantu penduduk kampung. Klinik Kesihatan Nanga Ensiring beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Klinik ini lebih menumpukan rawatan ibu mengandung dan kanak-kanak.

Antara perkhidmatan yang boleh dinikmati secara percuma ialah pemeriksaan ibu mengandung dan post natal, pemeriksaan bayi dan kanak-kanak, pemeriksaan pesakit luar dan perancang keluarga. Bagaimanapun bayaran pendaftaran sebanyak RM1.00 akan dikenakan kepada pesakit luar yang mendapat perkhidmatan perubatan di kampung ini. Purata penduduk kampung yang menerima rawatan di klinik ini ialah 500 ke 700 orang sebulan. Jika berlaku kes-kes yang berat, pesakit tersebut akan dirujuk ke Hospital Sarikei.

Klinik Kesihatan Nanga Ensiring juga merupakan pusat bagi Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (KTAK). Projek yang dilaksanakan oleh KTAK bersama beberapa agensi lain bertujuan merapatkan jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar.

Terakhir Dikemaskini pada Isnin, 30 Januari 2012 04:47