|

Cerita Sang Gajah
Ada pelbagai versi menceritakan asal usul nama Kampung Gajah. Menurut sejarah lisan yang disampaikan turun-temurun oleh penduduk kampung, Kampung Gajah ini mendapat nama kerana pada masa dahulu terdapat banyak gajah yang mendiami hutan rimba berhampiran Bukit Tunggal, Kampung Gajah. Gajah-gajah ini berkeliaran mencari makan dengan memakan pokok pisang dan umbut kelapa yang ditanam oleh penduduk kampung. Oleh sebab itu, kawasan ini dinamakan Kampung Gajah. Sementara itu, ada satu sumber lisan pula mengatakan nama Kampung Gajah diambil sempena sekumpulan gajah yang menginap di Bukit Tunggal turun minum ke Sungai Perak. Kampung Gajah menjadi laluan utama gajah-gajah tersebut sebelum sampai di Sungai Perak. Maka, kampung ini diberi nama sempena sekumpulan gajah berkenaan. Kampung Gajah juga menyimpan sejarahnya tersendiri. Pada zaman pemerintahan British di Tanah Melayu, pahlawan-pahlawan Melayu berjuang berhabis-habisan untuk menewaskan musuh mereka. Misalnya pembunuhan Residen British di Perak, J. W. W Birch oleh pahlawan Melayu iaitu Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela telah mencetuskan peperangan antara pihak pentadbiran Inggeris dan pentadbiran Melayu yang akhirnya menyemarakkan api nasionalisme penduduk Tanah Melayu. Peristiwa berdarah ini tercatat sebagai sejarah penting di negara ini dan kesan peninggalan boleh diperoleh di Kompleks Sejarah Pasir Salak yang terletak di seberang Kampung Gajah. Pada masa dahulu, Kampung Gajah merupakan sebuah kampung kecil dan akhirnya pada sekitar 1980-an, banyak kedai-kedai, klinik dan bangunan jabatan kerajaan dibina di Kampung Gajah. Pembangunan sedikit demi sedikit ini menjadikan kampung ini diiktiraf sebagai sebuah pekan kecil di Daerah Perak Tengah. Pada sekitar 1990an, banyak kilang dibina di Pekan Kecil Kampung Gajah yang membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan juga kawasan sekitar. Pembukaan kilang-kilang seperti kilang elektronik dan kilang anak patung di Kampung Gajah pernah menjadi sumber ekonomi penduduk di sini. Kini, operasi kilang-kilang tersebut telah dihentikan dan penduduk setempat terpaksa mencari peluang pekerjaan di tempat lain pula.
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 25 Mac 2010 03:49 |