Kampung Gobek
Kelantan Darul Naim
Keselamatan
Indeks Artikel
Keselamatan
Artikel Asal
Semua Halaman

alt

Sistem Rondaan Sukarela (SRS)

Bermula jam 9.30 malam hingga 4.00 pagi, penduduk Kampung Gobek akan melakukan rondaan untuk menjaga keselamatan kampung. Mereka menubuhkan pasukan Sistem Rondaan Sukarela (SRS) sejak enam tahun yang lepas bagi mengawal pos-pos utama seperti pintu masuk ke kampung berkenaan. Sehingga bulan Disember 2009, seramai 120 orang penduduk telah mendaftar diri sebagai ahli SRS dan setiap malam kira-kira 15 hingga 20 orang ditugaskan mengawal kampung sama ada menaiki motosikal, basikal atau berjalan kaki. Penubuhan SRS sehingga kini berjaya membendung kejadian jenayah seperti kecurian atau pecah rumah, mengatasi gejala sosial dan membanteras masalah penagihan dadah oleh golongan belia. Melalui SRS, penduduk bukan sahaja memantapkan sistem pengawasan keselamatan, bahkan turut mengeratkan hubungan kejiranan antara sesama penduduk Kampung Gobek dengan penduduk Kampung Gala dan Batang Merbau.

Sebenarnya, penubuhan SRS di kampung ini melalui inisiatif Rukun Tetangga yang bermatlamat membanteras sebarang aktiviti yang melanggar peraturan undang-undang di samping bekerjasama dengan pihak polis. Menceritakan perjalanan SRS, Penghulu Tanpa Mukim Parlimen Tanah Merah, Mat Yassin Ahmad berkata, sukarelawan SRS diberi tugas mengawal pintu masuk utama Kampung Gobek menuju ke kampung sekitarnya. Manakala keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, YB Amran Abdul Ghani telah mendorong pasukan SRS berfungsi dengan jayanya. Beliau turut memberi sumbangan berupa radio amatur, walkie-talkie, jaket keselamatan, cota, lampu picit dan wisel bagi melicinkan lagi tugasan mengawal keselamatan. Petugas SRS juga diberi perlindungan insurans di bawah peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan jika menghadapi sebarang ancaman semasa menjalankan bertugas.

Selain mengawal pergerakan kampung, pasukan SRS turut mengenal pasti kenderaan yang menggunakan pos utama untuk memasuki Kampung Gobek menuju ke Liku, Rambai dan Pasir Besar. Sekiranya terdapat individu atau kenderaan yang mencurigakan, mereka akan melaporkan terus kepada Balai Polis Kuala Tiga ataupun mendapatkan bantuan Ikatan Relawan Rakyat (RELA). Menurut Mat Yassin lagi, petugas yang mengawal pos kawalan dan rondaan juga diberi kursus terutama mengenai undang-undang di bawah Kanun Acara Jenayah berkaitan tangkapan tanpa waran yang melibatkan jenayah kecurian sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa. (Kemas Kini: 21 Disember 2009 – Oleh: Norjimi Azmi Latif)


Atasi Masalah Bersama

Kawasan pedalaman kebiasaannya tidak mempunyai masalah yang serius berkaitan dengan keselamatan. Namun sekiranya perkara tidak diingini berlaku, laporan atau aduan boleh dibuat di Balai Polis Kuala Tiga, Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan Darul Naim yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Kampung Gobek.

Pasukan Ikatan Relawan Masyarakat (RELA) juga mengadakan kawalan agar ketenteraman penduduk kampung terjamin. Satu kecurian getah yang berlaku di Kampung Gobek tidak lama dahulu telah berjaya dibanteras oleh RELA. Sehingga kini RELA dan orang kampung bergilir-gilir menjaga ladang getah agar kegiatan jenayah seperti itu dapat dibendung.

Terakhir Dikemaskini pada Isnin, 10 Januari 2011 08:30
 

Klinik Desa Kampung Gobek 17500 Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan Darul Naim.

Hit Paparan Kandungan : 14255
Kemas Kini :
09-04-2013 07:29