|
Laman 2 dari 3

Percutian Unik
Jika ingin bercuti ke Utara Semenanjung, sambil mencari ketenangan, pastinya anda memerlukan tempat yang damai untuk melepaskan tekanan setelah penat bekerja. Chalet Terapung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok tentu menjadi pilihan kerana lokasinya yang terletak jauh dari kesibukan kota dan dikelilingi alam semula jadi yang masih terpelihara. Terletak di Kampung Segantang Garam iaitu kira-kira 12 kilometer dari pekan Merbok atau 20 minit menaiki bot dari Tanjung Dawai. Kawasan chalet terapung PPK Merbok sememangnya ‘saujana mata memandang’ dengan kehijauan hutan paya bakau Sungai Merbok serta dihiasi panorama indah berlatarbelakangkan Gunung Jerai. Mengikut Pengurus Bahagian Agro Pelancongan dan Infrastruktur Ladang PPK Merbok, Hamdan Awang, hutan paya bakau tersebut memiliki 30 spesies flora di kawasan seluas 4.114 hektar yang merupakan salah satu kawasan Hutan Simpan Paya Laut yang terbesar di Malaysia.
Antara tumbuhan utama yang hidup di kawasan hutan itu ialah pokok api-api, bakau, perepat dan tumu. Di samping itu, hutan bakau terbabit turut menampung pelbagai jenis hidupan liar iaitu daripada jenis paling halus (zooplankton) hinggalah ke reptilia besar antaranya ketam rebab, ketam lumpur, ikan belacak dan udang kara. Hamdan Awang memberitahu, chalet berkenaan mula diusahakan pada 16 Januari 2010 dengan modal terkumpul daripada PPK Merbok dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Kini terdapat tujuh buah chalet yang diapungkan di atas Sungai Merbok. Dua daripada chalet ini menawarkan bilik tidur berhawa dingin sementara satu lagi merupakan chalet jenis VIP dilengkapi perabot, peralatan dapur, televisyen dan ruang santai. Selain itu, terdapat juga dua chalet berkembar tanpa pendingin hawa serta empat buah bilik penginapan berasingan. Kadar bayaran yang dikenakan adalah antara RM40.00 hingga RM250.00 satu malam manakala untuk memancing tanpa penginapan dikenakan bayaran RM15.00 seorang tanpa had masa.
Antara ikan yang banyak terdapat di situ adalah sembilang, jenahak, kerapu, senangin, gemang dan malong. Selain memancing di pelantar yang disediakan, pengunjung juga boleh memilih untuk memancing ke pulau-pulau berhampiran dengan perkhidmatan bot dan mengikuti lawatan ke kawasan pelancongan menarik yang berdekatan seperti Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Tanjung Dawai dan sebagainya. Sejak chalet tersebut dibuka, ia mendapat sambutan hangat daripada pelancong sama ada di kalangan penduduk tempatan ataupun dari luar. Chalet ini mendapat tempahan hampir setiap hari dan jarang menerima pengunjung walk-in kerana bilik sentiasa penuh. (KK15: 19 Jun 2012 – Oleh: Alina Zaireen Ismail)
|