Kampung Janda Baik
Pahang Darul Makmur
Pendidikan
Indeks Artikel
Pendidikan
Kemas kini: 7 April 2010
Artikel Asal
Semua Halaman

kk12_jandabaik_pendidikan

Perkhemahan Lencana Pengakap 2011

Teratak Malaya, Janda Baik menerima kunjungan seramai 38 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (SKBD), Kuala Lumpur yang mengikuti Perkhemahan Lencana Pengakap 2011 pada Oktober 2011 lalu. Perkhemahan bagi mendapatkan Lencana Keris Perak itu berlangsung selama tiga hari melibatkan 12 orang guru pembimbing yang diketuai oleh Mohd. Najib Ismail. Menurut Najib, semua peserta terdiri daripada murid Tahun Empat dan Tahun Lima yang sebelum ini telah memiliki Lencana Keris Gangsa. Perkhemahan ini juga dapat melatih murid-murid yang terlibat dengan berbagai kemahiran ikhtiar hidup. Program diadakan setiap hujung tahun setelah murid-murid ini selesai menduduki peperiksaan akhir tahun.

Semua ahli pengakap perlu menempuhi beberapa aktiviti sebelum dianugerahkan Lencana Keris Perak. Semasa perkhemahan ini murid-murid yang menyertai telah menerima latihan memasang khemah, berkawat, ikatan, pertolongan cemas selain menghasilkan kraf tangan berasaskan kayu dan barangan terbuang, pemetaan dan isyarat sulit pengakap. Pengakap juga akan dinilai menerusi aktiviti air, kawad dan malam kebudayaan. Aktiviti berkenaan secara tidak langsung dapat mendidik para peserta untuk lebih berdisiplin, bekerjasama, mempunyai semangat jati diri dan menghargai alam sekitar. (KK12: 10 November 2011 – Oleh: Zanariah Abdullah)


 

alt

Kepentingan Menjaga Kesihatan

Lebih 300 pelajar-pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di Daerah Bentong mengambil bahagian dalam acara larian sihat sempena Kempen Kesedaran Kesihatan Universiti Malaya 2010 bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik. Kempen Kesedaran Kesihatan anjuran Jawatankuasa Pelajar Kebajikan dan Kemasyarakatan (JKP KEMAS) Kolej Kediaman Ibnu Sina, Universiti Malaysia (UM) telah diadakan pada 6 Februari 2010 yang lalu. Kempen kesedaran ini turut mendapat tajaan Kementerian Kesihatan Malaysia, DRB-Hicom Berhad, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, MAXIS Bhd, Boh Plantations Sdn Bhd dan Utusan Melayu (M) Berhad. Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad, Dutch Lady Milk Industries Berhad, Syarikat Jasa Ayah Ent, GS Khaula dan Maya Silk. Menteri Kesihatan Malaysia, YAB Dato’ Seri Liow Tiong Lai telah merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Universiti Malaya 2010 sekali gus melepaskan para peserta larian sihat.

Menurut Penyelia Perpustakaan Desa Kampung Janda Baik, Harul Azam Mat Noor, tujuan kempen tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada penduduk kampung akan kepentingan menjaga kesihatan, selain memberi peluang kepada para pelajar menabur bakti dan sumbangan khidmat masyarakat kepada masyarakat desa. Sekali gus menjadi platform kepada penuntut-penuntut UM untuk mempelajari kaedah berkomunikasi secara positif dengan masyarakat luar bandar. Pada hari itu turut diadakan ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, pemeriksaan gigi dan kempen derma darah. Hospital Bentong turut mengambil bahagian membuka kaunter pemeriksaan kesihatan di tapak pameran yang telah disediakan. Turut diadakan pertandingan gubahan bunga dan pakaian beragam. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Liow Tiong Lai. (Kemas kini: 7 April 2010)

 


Melahirkan Generasi Cemerlang

Hanya terdapat sebuah sekolah rendah dan tadika yang dibina di Kampung Janda Baik, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik dan Tadika KEMAS di bawah anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat. Kebanyakan anak-anak penduduk kampung mendapat pendidikan awal di SK Janda Baik dan apabila tiba peringkat menengah pula mereka akan bersekolah di sekolah menengah yang terdapat di Bandar Bentong.

Dalam pada itu, terdapat juga sebuah Maahad Tahfiz Al-Quran di Kampung Lurah Janda Baik dan ia merupakan salah satu pusat pendidikan tidak formal yang terdapat di kampung ini. Sebuah pusat didikan khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU) juga ada dibina dan diberi nama Pusat Didikan Khas Sinar Harapan. Pusat ini menyediakan perkhidmatan kepakaran kepada pelajar seperti kelas bahasa isyarat, kaunseling ibu bapa dan aktiviti terapi.

Di samping itu, ada juga di kalangan anak-anak penduduk kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta. Perkembangan pendidikan yang pesat di Kampung Janda Baik diharapkan dapat melahirkan generasi yang mampu untuk mentadbir negara satu hari nanti.

Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 22 Mac 2012 09:45