|
Laman 1 dari 3 
Inap Desa Uluhati
Inap Desa Uluhati yang terletak di Batu 18, Hulu Langat lengkap dengan pelbagai aktiviti berbentuk sukan lasak. Lebih istimewa, pengunjung dapat menikmati hidangan enak resipi asli Negeri Sembilan dengan kesegaran ikan dan ayam dari ladang pemilik inap desa ini sendiri. Tanah ladang ini dibeli Shaipudin Shah Harun sekitar sepuluh tahun lalu dan baru setahun ia dibangunkan sebagai tempat rekreasi dan penginapan. Shaipudin sekeluarga terlebih dahulu berpindah ke sini untuk menikmati kehidupan yang berbeza. Kini, ladang ini diuruskan sepenuhnya oleh beliau sekeluarga tanpa menggunakan tenaga kerja luar. Selepas meletak jawatan dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) pada tahun 2008, Shaipudin kini menemui cinta baharu dengan menjadi seorang petani, tukang kayu, tukang paip dan ahli veterinar separuh masa di Uluhati.
Di Uluhati terdapat pelbagai tanaman pokok buah-buahan yang akan berbuah lebat sekitar bulan Jun seperti durian, mempelam dan rambutan. Shaipudin juga menternak pelbagai haiwan makanan untuk dimakan sendiri dan dijual seperti ayam kampung, ayam Belanda, ayam api, kambing kampung dan rusa serta turut mengusahakan kolam ternakan ikan keli dan tilapia. Selain itu, Shaipudi turut membela kuda di ladang miliknya. Para tetamu yang hadir akan dibawa mengelilingi kawasan ladang itu untuk melihat kemudahan-kemudahan yang disediakan.
Untuk penginapan, sebuah chalet dibina daripada inspirasi rekaan Rumah Panjang Borneo yang telah dibangunkan menggunakan hasil hutan sepenuhnya. Rumah panjang ini mempunyai enam buah bilik di mana setiap bilik mampu menampung seramai empat orang tetamu. Bilik air dibina berasingan tetapi mengasingkan antara tetamu lelaki dan wanita untuk keselesaan. Walaupun ia dibina dalam ladang yang menempatkan banyak haiwan ternakan, ladang ini di selenggara dengan baik bagi memastikan ia sentiasa bersih dan tidak berbau.
Antara aktiviti yang dianjurkan di Uluhati adalah seperti parti buah-buahan tempatan, hari keluarga organisasi korporat, majlis hari lahir, kem berkuda dan sesi bergambar. Memandangkan tanah ladang ini luas, maka ia sesuai untuk aktiviti perkhemahan yang selamat dan selesa. Pada waktu malam, lampu kuning dipasang bagi menyerlahkan suasana dan juga untuk tujuan keselamatan. Terletak bersebelahan dengan chalet tersebut, sebuah kedai kopi turut didirikan. Sekiranya ada tetamu yang datang menginap, Shaipudin bersama isterinya akan menyediakan sendiri masakan Negeri Sembilan yang menjadi kepakaran mereka. Di kedai kopi ini, ayam kampung dan ikan keli yang menjadi bahan utama hidangan masak lemak cili api adalah yang diternak sendiri. Mereka menyediakan hidangan lengkap dengan ulam-ulaman, udang dimasak sambal tumis, ikan goreng, sambal belacan, tempoyak dan banyak lagi hidangan pelengkap lain.
Selepas makan tengah hari dan berehat sebentar, tetamu turut dipelawa menyertai beberapa pilihan aktiviti rekreasi. Selain melawat ladang, mereka juga boleh mencuba aktiviti menyumpit, menunggang kuda atau mengikuti aktiviti treking di sekitar Sungai Langat. Bentuk muka bumi sekitar Hulu Langat yang dipenuhi bukit dan gunung membuatkan banyak jeram dan air terjun terhasil. Kawasan tersebut menawarkan pelbagai pemandangan dan aktiviti lasak untuk disertai. Aktiviti seperti meredah hutan, mendaki gunung, berkhemah di hutan, memancing, berakit di jeram dan safari malam disediakan atas permintaan pelanggan semasa membuat tempahan. Kebanyakan tetamu yang hadir gemar memilih aktiviti berakit yang dikendalikan pendayung Orang Asli kerana golongan itu arif tentang laluan jeram dan dapat berkongsi banyak pengalaman dengan pengunjung. (KK14: 6 April 2012 - Oleh: Azizah Ayub)
|