|
Laman 1 dari 2 
Treasurehunt Merdeka SMK Abdul Jalil
Penduduk Kampung Jawa Batu 18 Hulu Langat meneruskan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil, Hulu Langat yang jaraknya hanya kira-kira 7 kilometer dari kampung tersebut. Pihak SMK Abdul Jalil terutama guru-guru prihatin menganjurkan pelbagai program atau aktiviti untuk pelajar Tingkatan 1 hinggalah ke Tingkatan 5. Selain menganjurkan program akademik seperti seminar, ceramah dan teknik menjawab kertas peperiksaan, pihak sekolah juga aktif mengadakan aktiviti berbentuk kokurikulum seperti sukan, perkhemahan, eksplorasi dan ekspedisi. Begitu juga dengan sambutan perayaan yang juga disambut oleh warga SMK Abdul Jalil seperti sambutan Hari Kemerdekaan, Israk Mikraj, Maulidur Rasul dan sebagainya.
Pada Ogos 2010 yang lalu, sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53, SMK Abdul Jalil telah menganjurkan Treasurehunt Merdeka SMKAJ. Menurut guru penyelaras program tersebut, Hayati Baizurah Ibrahim, aktiviti di bawah Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dan Panitia Sains Sukan ini merupakan yang pertama kali diadakan. Aktiviti berlangsung di kawasan persekitaran sekolah bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan disertai hampir 200 pelajar Tingkatan 4 dan 5. Treasurehunt Merdeka SMKAJ dianjurkan bertujuan untuk menguji tahap ketahanan fizikal peserta di samping mendidik pelajar supaya menghayati erti kemerdekaan. Selaras dengan tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu “1 Malaysia Menjana Transformasi”, begitu juga hasrat SMK Abdul Jalil untuk melihat pelajar-pelajarnya menghayati kemerdekaan negara berteraskan program-program yang telah dianjurkan. Seterusnya menjana perubahan positif dalam diri pelajar berteraskan era globalisasi yang semakin mencabar. (KK7: 03 November 2010 - Oleh: Azizah Ayub)
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Isnin, 21 Februari 2011 07:42 |