|

Penternakan Kambing
Sektor penternakan kambing merupakan salah satu sumber pendapatan penduduk di Kampung Jawa. Diusahakan oleh anak kampung sejak dua tahun lalu, kini perniagaan beliau semakin berkembang. Bermodalkan lebih daripada RM200,000, kini Haji Muhiju Kasimah, 54 tahun boleh tersenyum lega melihat lebih daripada 300 ekor kambingnya yang semakin bertambah. Jenis kambing yang diternak adalah seperti Boer, Jamnapari, Senen dan juga Parrel. Kambing jenis Boer dan Jamnapari diternak untuk jualan daging manakala kambing jenis Senen adalah untuk mendapatkan susu. Ada juga benih-benih kambing yang dikhususkan bagi tujuan baka atau pembiakan yang diperoleh dari Indonesia dan Australia. Kambing-kambing ini dijual untuk majlis akikah, kenduri kahwin dan majlis-majlis rasmi dengan harga ratusan ringgit dan boleh mencecah sehingga ribuan ringgit mengikut jenis kambing. Bagi tujuan perubatan, pengusaha kambing ini membelanjakan lebih kurang RM1,000 sebulan dan suntikan vaksin akan diberikan selang tiga bulan sekali untuk semua jenis kambing. Bagi kambing yang mempunyai penyakit, ia akan diasingkan dengan kambing-kambing lain untuk mengelakkan jangkitan kuman. Kambing-kambing ini diberi makan soya setiap pagi. Sebelah petang kambing-kambing akan diberi makan rumput Napia Taiwan. Stok makanan ini berharga lebih kurang RM2,000 sebulan dan pengusaha mendapatkan bekalan dari Pandamaran, Klang. Pembinaan kandang kambing yang tinggi adalah untuk mengelakkan najis daripada naik ke atas kandang. Dianggarkan ketinggian kandang daripada tanah adalah sejauh dua meter. Selain itu, ia juga dapat mengelakkan kambing-kambing ini daripada dijangkiti selesema. Perusahaan penternakan kambing ini juga telah menembusi pasaran luar di mana pelanggan bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan tetapi ia juga mendapat tempahan penduduk dari luar Selangor. Antara perusahaan kambing yang terkenal di Kampung Jawa ialah MN Farm Enterprise. Orang ramai yang mahu mendapatkan bekalan kambing boleh menghubungi syarikat ini di talian 03-4108 9800. Terdapat juga perusahaan penternakan ikan air tawar di kampung ini yang dijalankan secara kecil-kecilan sejak Januari 2008. Ikan keli yang diternak di sini lebih kurang 6,000 ekor di atas tanah hak milik persendirian manakala lebih kurang 5,000 ekor yang sedang dibiakkan. Ternakan ini dijalankan dengan modal sendiri sebanyak RM15,000. Pengusaha di sini masih menunggu bantuan anak benih ikan keli dan juga bekalan makanan bagi meningkatkan perusahaan yang dijalankan. Bekalan makanan yang semakin mahal juga membuatkan pengusaha tersepit dan menanti bantuan daripada pihak berwajib. Dianggarkan makanan untuk ikan keli adalah lebih daripada RM1,000 sebulan dari jenis TP1 atau bahan buangan ikan.
|