Kampung Jenderam Hilir
Selangor Darul Ehsan
JKKK
Indeks Artikel
JKKK
Artikel Asal
Semua Halaman

alt

‘Program Desa Siber’ Dari Pelajar MMU

‘Program Desa Siber’ anjuran pelajar Multimedia University (MMU), Cyberjaya di Kampung Jenderam Hilir berjaya memberi pendedahan kepada penduduk kampung mengenai kepentingan ilmu teknologi dan maklumat. Program ini berlangsung selama enam hari bermula pada 31 Disember 2009 hingga 5 Januari 2010 dan disertai kira-kira 43 orang pelajar MMU. Selain melibatkan 22 buah keluarga angkat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bersama Rukun Tetangga (RT) dan UMNO Cawangan Jenderam Hilir telah memainkan peranan penting menganjur dan menjayakan program ini.

Program Desa Siber bermula dengan ketibaan para pelajar pada sebelah pagi yang disambut kira-kira 200 orang penduduk kampung di Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir. Wakil pelajar berkenaan menerangkan mengenai tujuan dan matlamat program anak angkat Desa Siber diadakan di Jenderam Hilir. Kehadiran mereka bukan sekadar menjalin hubungan dengan penduduk kampung malahan turut memberi pendedahan tentang persekitaran teknologi dan maklumat yang berleluasa pada masa kini. Selepas solat Isyak di Masjid Jenderam Hilir, pelajar berkenaan telah menjayakan majlis ‘Ceramah Usahawan Siber’.

Kira-kira 80 orang penduduk kampung menghadiri ceramah berkenaan yang dianjurkan di Dewan Sekolah Kebangsaan Jenderam Hilir. Tujuan utama ceramah diadakan adalah untuk menerangkan kepentingan laman web yang boleh dilakukan dengan kemudahan komputer dan hanya menggunakan talian internet bagi mempromosikan hasil ekonomi penduduk kampung. Boleh dikatakan penduduk kampung Jenderam Hilir aktif dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Mereka bukan sahaja mengeluarkan kek dan biskut moden, kuih baulu, kerepek, ikan pekasam dan serunding, malah mengusahakan pertanian dan perikanan air tawar, penternakan kambing biri-biri, lembu dan sebagainya.

Program bersambung pada keesokan harinya dengan menjayakan Program Belajar Komputer Dan Internet di Sekolah Kebangsaan Jenderam Hilir. Pada sebelah petang pula, mereka menjayakan aktiviti sukaneka yang melibatkan belia dan penduduk kampung. Pelbagai acara dianjurkan, antaranya menjayakan sukan rakyat seperti meniup belon, berlari dalam guni dan menganyam ketupat yang berlangsung di Padang Taman Desa. Selain itu, pelajar MMU turut terlibat menjayakan malam kebudayaan dengan persembahan drama, puisi dan pantun, manakala penduduk kampung pula menggamatkan suasana melalui permainan kompang, seni silat tari dan tarian piring. Lebih meriah apabila diadakan ‘Majlis Kenduri Kampung’ dengan menumbangkan seekor lembu, kambing dan ayam. Pada majlis itu kelihatan penduduk kampung bersama peserta program bertungkus-lumus melapah daging dan memasak secara bergotong royong. Majlis Penutup Program Desa Siber dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, YB Datuk Marsum Paing yang menyarankan agar program seumpama ini dijadikan program tahunan. (Kemas Kini: 15 Januari 2010 - Oleh: Norjimi Azmi Latif)



Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 21 Januari 2011 03:08
 

Perpustakaan Desa Jenderam Hilir, Belakang Masjid, Jenderam Hilir, 43800 Dengkil, Selangor Darul Ehsan

Hit Paparan Kandungan : 23856
Kemas Kini :
19-03-2013 03:01