Kampung Limau Kasturi
Kelantan Darul Naim
Kesihatan
Indeks Artikel
Kesihatan
Artikel Asal
Semua Halaman

alt

Ujian Kesihatan Pap Smear

Selain memberi perkhidmatan kesihatan, Jururawat Masyarakat (JM) di Klinik Desa Limau Kasturi turut melibatkan diri dalam aktiviti komuniti setempat. Misalnya, pada Mei lalu, JM Ramlah Mamat terlibat dalam 'Kempen Kesihatan dan Pap Smear' yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi ketika berlangsungnya acara sukan tahunan.

Bertempat di padang sekolah tersebut, JM Ramlah bersama tiga petugas dari Klinik Kesihatan Jeram Tekoh telah mengendalikan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada para ibu bapa. Kempen kesihatan ini bertujuan untuk mengesan masalah kesihatan selain penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi atau hipertensi dan kencing manis. Pada masa yang sama, ia juga untuk menyedarkan penduduk kampung akan kepentingan menjaga pemakanan dan melakukan senaman. Langkah itu boleh mengawal masalah hipertensi yang boleh menyebabkan komplikasi kesihatan pada jangka panjang seperti kegagalan fungsi jantung atau buah pinggang.

Manakala, kempen pap smear pula diadakan untuk menyedarkan kaum wanita terutama yang telah berkeluarga akan pentingnya menjalani ujian tersebut supaya dapat mencegah penyakit kanser pangkal rahim. Ujian pap smear ialalah satu ujian untuk memeriksa kesihatan servik atau bahagian pangkal rahim yang dilakukan untuk mengesan penyakit di peringkat awal.

Namun, masih ramai kaum wanita yang tidak menjalani rawatan pap smear kerana mereka kurang prihatin akan kesihatan diri dan kesedaran akan kepentingan ujian tersebut. Kaum wanita masih diselimuti oleh perasaan malu selain takut serta tidak selesa lebih-lebih lagi sekiranya diperiksa oleh doktor lelaki.

Mereka juga mengelak untuk melakukan ujian pap smear kerana dibayangi perasaan sakit apabila melihat peralatan yang digunakan dalam proses ujian tersebut. Peralatan seperti spekulum, wooden spatula dan cytobrush akan dimasukkan ke dalam pangkal rahim untuk mendapatkan sedikit sel servik untuk diuji.

Justeru, kaum wanita yang telah berkeluarga disarankan menjalani ujian pap smear setiap tahun selain mengamalkan cara hidup yang sihat dan setia kepada pasangan masing-masing. Ini kerana kanser pangkal rahim merupakan kanser kedua yang sering mengakibatkan kematian di kalangan wanita selepas kanser payu dara. (Dikemas kini: 8 Mei 2009)



Terakhir Dikemaskini pada Isnin, 07 Jun 2010 09:27