|
Laman 1 dari 2 
Pameran Fotografi
Pameran Fotografi yang bertajuk ‘The Ulu and The Museum’ yang diadakan di Muzium Negeri Sarawak bermula 2 April hingga 27 Mei 2012 telah berjaya menarik perhatian ramai. Pameran tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang khazanah budaya dan tradisi yang dimiliki komuniti Orang Ulu di sepanjang Baram dan Tinjar. Pameran itu memaparkan gambar-gambar yang diambil di sekitar Daerah Baram dan Sungai Tinjar di antara tahun 1950 dan 1980. Kebanyakan gambar yang dipamerkan menunjukkan masyarakat Kenyah, Kayan, Sebop dan Berawan menjalani kehidupan seharian termasuk beberapa gambar majlis keramaian dan amalan tradisi yang mungkin tidak dipraktikkan lagi kini. Antaranya ialah tradisi mencacah tatu pada lengan, kaki dan paha serta bertelinga panjang di kalangan wanita. Adapun yang masih mengekalkan tradisi tersebut adalah generasi dulu yang kini sudah pun berusia. Kebanyakan gambar-gambar tersebut diambil dari beberapa buah rumah panjang di Long San, Long Loyang, Long Sobeng, Long Makabar, Long Selatong, Long Buroi dan banyak lagi.
Pameran seumpama ini merupakan yang julung kali diadakan di Muzium Negeri Sarawak dan ia merupakan peluang terbaik bagi generasi muda terutamanya generasi Orang Ulu untuk mengenali sejarah dan bentuk kehidupan Orang Ulu 50 tahun yang lampau. Dari gambar-gambar tersebut dapat dilihat corak kehidupan Orang Ulu termasuk penyediaan makanan, tradisi mencacah tatu, tarian dan pakaian tradisional, kegiatan kraf tangan, majlis keramaian dan pelbagai lagi. Pameran tersebut dianjurkan oleh Christina Horn yang disokong oleh Muzium Negeri Sarawak, Swinburn Institute of Social Research, Swinburn University of Technology dan The Goethe Institute, Kuala Lumpur. Di samping itu, Muzium Negeri Sarawak juga telah melakukan kajian tentang masyarakat Kenyah, Kayan dan Berawan yang meliputi beberapa perkara seperti corak dan ukiran tradisional, sungai dan maklumat mengenai Orang Ulu pada 100 tahun yang lepas. Dengan adanya pameran seumpama ini, generasi Orang Ulu masa kini dapat menjejaki sejarah silam zaman nenek moyang mereka sebelum ia pudar dan hilang ditelan zaman. (KK14: 12 April 2012)
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 25 September 2012 09:11 |