Kampung Rantau Panjang
Melaka Bandar Bersejarah
Pendidikan
Indeks Artikel
Pendidikan
Kemas Kini: 22 November 2012
Kemas Kini: 19 September 2012
Kemas Kini : 26 Jun 2012
Kemas Kini: 21 Februari 2012
Kemas Kini: 23 Nov 2011
Kemas Kini: 29 Mac 2011
Artikel Asal
Semua Halaman

06_KK17rantaupanjang_pendidikan

Tawar Bidang Baru

Kolej RISDA menawarkan tiga bidang baharu bagi pengajian di peringkat diploma iaitu Diploma Sains Pertanian, Diploma Pengurusan Ladang dan Diploma Perniagaan Elektrik selain program pengajian baharu di peringkat ijazah iaitu Ijazah Teknologi Keusahawanan Pertanian yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Kolej RISDA menawarkan peluang pendidikan tinggi kepada golongan pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kalangan masyarakat pekebun kecil yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Pada masa ini, hampir 3,000 pelajar mengikuti pengajian di kolej berkenaan. Sejak penubuhannya pada 2000, kolej tersebut merangka pelan pendidikan untuk dinaik taraf sebagai kolej universiti kelak. (KK18: 6 Februari 2013 – Oleh: Zanariah Abdullah)


Pasar Karat Dondang Sayang

Pameran Pasar Karat Dondang Sayang telah mengambil tempat di Galeri Seni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka pada Oktober 2012 lalu. Seramai 52 pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka terlibat dalam program yang dianggap sebagai pra pelancaran sebelum ia dibawa ke Galeri Sangkring Art Space, Jogjakarta sempena mengisi program 'Ilham Lenjo Art Exchange' antara 14 hingga 19 November 2012 lalu. Program bertujuan mendidik masyarakat agar cintakan seni yang rapat dengan kehidupan harian kita. Pameran merangkumi tiga elemen utama iaitu menggunakan pendekatan persembahan, pemasangan dan pendidikan (PIE). Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Penerbitan Suria, Roslan Sabdin. Turut hadir menyaksikan pameran berkenaan adalah 100 pelajar dari sekolah-sekolah sekitar Lendu dan Masjid Tanah. (KK17: 22 November 2012 – Oleh: Zanariah Abdullah)


 

kk16_rantaupjg_pendidikan

Hari Potensi Kanak-kanak

Salah satu cara untuk menambah keyakinan dalam diri kanak-kanak adalah dengan menguji keberanian mereka beraksi di khalayak ramai. Pada September 2012 lalu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Masjid Tanah telah menganjurkan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas Parlimen Masjid Tanah di Kolej Komuniti Masjid Tanah. Program tersebut telah disertai 400 kanak-kanak KEMAS di Parlimen Masjid Tanah. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, YB Datuk Latipah Omar. Antara tujuan Hari Potensi itu diadakan adalah untuk mencari dan mencungkil bakat di kalangan kanak-kanak kecil di bawah seliaan KEMAS. Pada masa yang sama dapat mengetengahkan bakat sekali gus membuka mata masyarakat terhadap bakat yang terpendam dalam diri kanak-kanak itu. Antara beberapa pertandingan yang dijalankan sempena Hari Potensi itu adalah pertandingan kompang, tarian, teater, Tilawah Al-Quran, bercerita, boneka tangan, Story Telling dan reka cipta.

Menurut Penyelia Pra-Sekolah KEMAS Parlimen Masjid Tanah, Siti Halijah Harun, pertandingan yang diadakan itu telah diselaraskan dengan matlamat utama program iaitu untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak cilik tersebut agar menjadi lebih yakin diri dan berani berhadapan dengan orang ramai. Di samping itu, penglibatan kanak-kanak dalam program seumpama ini juga dapat meningkatkan daya kreativiti kanak-kanak dan memberi peluang kepada mereka untuk bersaing secara sihat bagi menyerlahkan bakat masing-masing. Pelaksanaan program ini selaras dengan dasar KEMAS yang menitikberatkan soal pembangunan modal insan dan sentiasa menganggap golongan kanak-kanak ibarat emas yang harus sentiasa digilap. Program yang dilihat banyak memberi kesan positif ini akan diteruskan di masa hadapan dan sokongan padu daripada semua pihak amat diperlukan bagi menjayakannya.(KK16: 19 September 2012)

 


 

kk15_rantaupjg_pendidikan

Kolej RISDA

Kolej Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terletak hanya kira-kira lima kilometer dari Kampung Rantau Panjang, Alor Gajah, Melaka. Kolej RISDA mendukung matlamat sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang proaktif dalam melaksanakan usaha membangunkan sumber manusia secara holistik ke arah mencapai kecemerlangan bersepadu. Kampusnya yang berkonsepkan dalam taman menyediakan prasarana lengkap bagi keselesaan para penuntutnya. Bersempena dengan ulang tahun yang ke-40 Kolej RISDA pada Jun 2012 yang lalu telah diadakan pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Saringan.

Pertandingan yang bertemakan ‘Ke Arah Memperkasakan Industri Getah Negara’ itu telah disertai kira-kira 40 siswa kolej berkenaan. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Kolej RISDA, Datin Dr. Faridah Hanam Mohd Rashid. Hadir sama, Pengarah Program, Abdul Halid Ramli dan Penasihat Program, Suhaiman Muhd Yassin. Dalam ucapan perasmiannya, Datin Dr. Faridah Hanam menyifatkan pertandingan seumpama itu mampu mengasah bakat pelajar dari segi intelektual dan kreativiti dalam merencanakan pengucapan yang bermaklumat, tepat dan padat. Di samping itu dapat melatih mereka agar lebih berkeyakinan dalam bidang pengucapan awam sekali gus meningkatkan ilmu pengetahuan menerusi pembacaan dan rujukan.

Selain bertujuan untuk mencungkil bakat dan idea di kalangan peserta, melalui pertandingan itu juga dapat mengetengahkan sumbangan dan kepentingan industri getah kepada masyarakat terutamanya golongan belia. Dalam pertandingan seperti ini juga para peserta berpeluang membentangkan idea dan pendapat tersendiri tentang kaedah dan usaha yang wajar dilaksanakan bagi memperkasakan industri getah di Malaysia. (KK15: 26 Jun 2012)

 


 

kk13_Pendidikan_KampungRantauPanjang

Institut Pengajian Tinggi

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampung Alor Gajah merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Kampung Rantau Panjang. UiTM Kampus Alor Gajah telah dirasmikan pada 2 Mei 1996 oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Pada Februari 2012 lalu, program amal, Charity Campus telah diadakan di Dewan Bendahara UiTM Kampus Alor Gajah yang melibatkan penyertaan 500 warga Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP), UiTM cawangan Melaka. Program amal itu telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri (PJI), Prof. Madya Dr. Roaimah Omar. Program tersebut turut dihadiri Koordinator FPP, Zaini Saat; Penyelia Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Perdana, Kompleks Penyayang Alor Gajah, Khadijah Sumam dan warga PDK Alor Gajah.

Program amal yang menggunakan konsep turun padang ini membuka ruang kepada mahasiswa mendekati golongan istimewa dan berbakti kepada masyarakat. Selain untuk tujuan akademik, penglibatan pelajar dalam program amal ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada mereka terhadap pentingnya berkongsi kasih sayang dan memberi perhatian terhadap golongan istimewa dan kurang berkemampuan. Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program amal ini ialah jualan dan larian amal serta program kitar semula. Menerusi program ini juga, wang sumbangan sebanyak RM2,000 berjaya dikutip dan diserahkan kepada Penyelia PDK, Khadijah Sumam. Secara keseluruhannya, program amal yang dijayakan menerusi gandingan pelajar dan pensyarah FPP ini berjaya menaikkan imej fakulti dan mengharumkan nama UiTM. Pada masa yang sama dapat melahirkan usahawan muda yang berdaya saing dan bersemangat kental. (KK13: 21 Februari 2012)

 


 

kk12_rantaupanjang_pendidikan

Karnival Sukan Sekolah Rendah

Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang tidak ketinggalan menyertai Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring antara sekolah-sekolah rendah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning yang diadakan pada November 2011 yang lalu. Kejohanan anjuran pejabat DUN itu adalah sebagai menyahut seruan membudayakan sukan sebagai satu alternatif dan transformasi ke arah kecemerlangan remaja dan belia. Kejohanan tersebut mendapat penyertaan sembilan buah sekolah rendah dalam DUN Taboh Naning termasuk dua buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) San Yuh dan SJK(C) Taboh Naning Jaya. Kesemua pasukan berusaha sehabis baik bagi merebut piala kejohanan iaitu Piala Yang Berhormat (YB) Latipah Omar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning.

Hadir merasmikan kejohanan ialah YB Latipah Omar sendiri dan dalam ucapannya, beliau berkata, kejohanan ini merupakan salah satu program penyelarasan yang dilaksanakan khusus untuk pelajar dan belia mengisi masa lapang mereka. Lebih-lebih lagi bagi pelajar yang sudah tamat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), penglibatan mereka dalam aktiviti sukan seumpama ini boleh mengisi masa lapang sekali gus menghindar daripada melakukan perkara yang sia-sia. Bukan itu sahaja, penglibatan murid dalam program ini turut membuka peluang kepada mereka yang berbakat untuk terus berjaya dalam bidang sukan bola sepak dan bola jaring. Tidak mustahil suatu hari nanti melalui kejohanan kecil ini, atlet kebanggaan negara mampu dilahirkan. Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai RM500.0 kepada juara, manakala RM300.00 dan RM250.00 kepada naib juara. Tempat ketiga pula mendapat RM150.00 sementara hadiah sagu hati sebanyak RM100.00. Kejohanan yang bermula pada jam 7.00 pagi itu turut disertai pasukan dari SK Ayer Pa’abas, SK Brisu, SK Sungai Buloh, SK Simpang Ampat, SK Melekek dan SK Cerana Putih. (KK12: 23 November 2011)

 


 

kk9_rantaupanjang_pendidikan

Bina Hubungan Baik

Pada Mac 2011 yang lalu, telah diadakan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP) yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, YB Datuk Latipah Omar. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyarankan persatuan ibu bapa dan guru dari mana-mana sekolah terutamanya di Melaka seharusnya lebih mantap dan relevan dalam membentuk persefahaman dan saling bermuafakat dalam sesuatu perkara. Menurut beliau lagi, kerjasama dan persefahaman yang baik antara pihak guru dan ibu bapa perlu agar dapat meningkatkan lagi keyakinan pelajar untuk mencapai kejayaan dalam pembelajaran.

Walaupun menghantar anak-anak ke sekolah, ibu bapa tidak seharusnya meletakkan tugasan mendidik seratus peratus pada guru, hal ini kerana masa kanak-kanak lebih banyak diluangkan di rumah bersama ibu bapa. Beliau turut menyentuh tentang sikap segelintir ibu bapa dan penjaga yang sering tidak berpuas hati dan menyalahkan guru sekiranya anak-anak gagal menjalani di dalam pembelajaran. Seharusnya mereka perlu peka terhadap kemampuan anak-anak dan bekerjasama dengan pihak guru untuk mencari kaedah yang terbaik dalam memberikan nasihat dan pendidikan secara berkesan.

YB Datuk Latipah Omar yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna Negeri turut berpeluang menyampaikan hamper dan sumbangan kepada para pelajar cemerlang di sekolah berkenaan. Pemberian sumbangan ini merupakan salah satu cara untuk meningkatkan semangat pelajar agar terus rajin dan berjaya dalam pelajaran. Turut hadir dalam mesyuarat pada hari itu ialah Yang Dipertua SKRP, Mohd Sufree Majid, Penghulu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Zulkifli Mohd Tahir dan Guru Besar SKRP, Rohani Harun. (KK9: 29 Mac 2011)

 


alt

Ilmu Kepada Semua

Kampung Rantau Panjang hanya memiliki sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang. Sekolah inilah menjadi kebanggaan penduduk kerana ia juga mengendalikan ‘Program Pendidikan Khas Integrasi’ yang memberi peluang pendidikan kepada murid-murid kurang upaya untuk turut menimba ilmu di sini.

Di samping itu, Sekolah Agama Islam JAIM turut disediakan untuk kemudahan pendidikan anak-anak penduduk Rantau Panjang bagi mempelajari ilmu keagamaan. Lebih 20 orang murid yang berdaftar dengan sekolah agama Islam ini.

Pelajar-pelajar sekolah rendah dari Kampung Rantau Panjang meneruskan pelajaran mereka di sekolah menengah yang terletak di Masjid Tanah.

Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 11 Jun 2013 01:18