Kampung Repoh
Perak Darul Redzuan
Maklumat Am

Perkampungan Yang Mendamaikan

Perpustakaan Desa Kampung Repoh terletak di sebuah perkampungan Melayu tradisional yang dikenali sebagai Kampung Repoh. Kampung ini terletak dalam Mukim Batu Kurau, Perak Darul Ridzuan iaitu kira-kira 20 km dari Bandar Taiping. Kampung Repoh bertapak di sebuah kawasan perkampungan kaki bukit yang udaranya segar, nyaman, bersih dan masih belum tercemar. Persekitaran ini amat sesuai untuk menenangkan fikiran dan merehatkan minda. Kehijauan pemandangan sepanjang perjalanan dan kawasan kaki bukit yang dilitupi kabus pada waktu pagi juga memberikan ketenangan dan panorama yang indah.

Uniknya kampung ini masih terpelihara daripada pencemaran budaya kerana cara hidup Melayu masih diamalkan dalam kehidupan penduduk di sini. Bagi pengunjung yang ingin melihat dan merasai sendiri cara kehidupan Melayu yang masih dikekalkan boleh berkunjung ke Kampung Repoh. Kampung ini terletak kira-kira tiga kilometer dari Batu Kurau.

Kampung Repoh juga sebuah perkampungan yang mempunyai kawasan yang agak luas kerana mempunyai beberapa buah kampung kecil. Kampung-kampung kecil itu telah disatukan di bawah satu pentadbiran dan pengurusan. Antaranya, Kampung Changkat Madrasah, Kampung Banggol Kubur, Kampung Lubuk Batu, Kampung Padang Harimau, Kampung Bukit Jelutong, Kampung Senu dan Kampung Tengah.

 

Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 07 Mei 2010 01:40