|

Orang Pattani Merempoh
M enurut cerita orang tua-tua, asal-usul kampung ini berkaitan dengan kemasukan sekumpulan orang Pattani yang telah melarikan diri dari negeri Siam akibat kalah dalam satu peperangan sekitar tahun 1800. Asal usul nama Kampung Repoh pula berasal dari satu perkataan “merempoh” yang bermaksud masuk secara tergesa-gesa ke dalam sesuatu kawasan dalam keadaan cemas. Kemasukan orang-orang Pattani ini terpaksa melalui hutan tebal serta terpaksa berhadapan dengan binatang-binatang buas kerana takut dijejaki oleh askar Siam, mereka berusaha juga meredah hutan ini sehingga sampai di suatu tempat. Mereka telah bermalam di tempat tersebut dan tidur di atas pokok kayu yang tinggi kerana takut kepada serangan binatang buas terutama harimau. Ekoran daripada keadaan ini, tempat tersebut telah dinamakan dengan ‘Padang Harimau’ dan nama tersebut kekal sehingga ke hari ini. Dari Padang Harimau, orang-orang Pattani terus meredah hutan belukar dengan cara merempuh dengan menebang serta menebas hutan untuk dijadikan tapak penempatan kekal mereka. Hasil dari kata sepakat serta kerjasama yang ditunjukkan oleh mereka maka wujud satu penempatan baru yang belum bernama. Setelah berbincang di kalangan mereka, tempat itu dinamakan ‘Kampung Merempoh’ bersesuaian dengan cara awal mereka meneroka kawasan baru tersebut. Cadangan nama kampung yang diputuskan itu diterima oleh semua penduduk kampung ketika itu. Setelah pelantikan seorang ketua, Ketua Kampung pada ketika itu telah mengubah nama Kampung Merempoh kerana perkataan merempuh agak panjang dan susah disebut oleh penduduk kampung pada ketika itu, maka perkataan merempuh dipendekkan menjadi ”repoh” sahaja. Di atas cadangan ketua kampung dan persetujuan penduduk kampung, Kampung Merempoh telah ditukar kepada Kampung Repoh dan dikekalkan hingga hari ini.
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 07 Mei 2010 08:37 |