|
Laman 1 dari 2 
Homestay Pak Long Din
Program Inap Desa atau dikenali sebagai homestay dilihat mampu membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat dan memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk terlibat secara aktif dalam sektor pelancongan. Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan Malaysia komited memperluaskan program penginapan desa di seluruh negara dalam usaha menggalakkan masyarakat luar bandar melibatkan diri dalam sektor pelancongan yang merupakan sektor kedua terbesar menyumbang kepada pendapatan negara. Samsudin Mat dan Miah Yakin merupakan pengusaha Program Inap Desa yang dikenali dengan Homestay Pak Long Din di Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau. Sudah pasti kunjungan pelancong ke teratak kecil ini mampu menggamit suasana meriah memandangkan pasangan suami isteri ini hanya tinggal berdua.
Homestay Pak Long Din tidaklah segah homestay lain, tetapi ia sudah cukup memberi keselesaan dan pengalaman menarik bagi pelancong yang ingin merasai suasana dan budaya masyarakat kampung. Sepanjang perjalanan ke homestay ini, pelancong akan disajikan dengan pemandangan menarik sawah padi dan dusun buah-buahan yang terkenal dengan durian Batu Kurau. Selain itu, pelancong juga berpeluang mencuba teknik menoreh getah di belakang rumah dan juga mengutip ulam-ulaman yang terdapat di sekeliling rumah. Bagi pelancong yang ingin merasai pengalaman mandi sungai, berhampiran Homestay Pak Long Din terdapat Kem Rimba Rekreasi Sempeneh yang menjadi lokasi riadah penduduk sekitar Batu Kurau untuk bermandi manda di hujung minggu. Kedinginan air sungai itu sudah cukup memberikan keseronokan terutama bagi pelancong yang jarang dapat merasai aktiviti ini.
Menarik mengenai Homestay Pak Long Din di mana Samsudin yang merupakan pesara kakitangan Kementerian Kesihatan hanya mengenakan bayaran untuk pakej aktiviti serendah RM50.00 sehari dan jumlah ini tidak termasuk untuk penginapan. Jumlah tersebut mungkin merupakan pakej terendah berbanding homestay lain yang juga menawarkan pakej hampir sama. Selain itu, pelancong yang datang dengan kenderaan sendiri tidak perlu khuatir kerana di sekitar homestay disediakan parkir yang luas untuk memudahkan pelancong meletakkan kenderaan mereka. Selain itu, kewujudan Air Terjun Sempeneh yang terkenal di kalangan penduduk sekitar Batu Kurau mampu menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Homestay Pak Long Din, sekali gus membantu dari aspek sosioekonomi keluarga Samsudin. (KK12: 09 Disember 2011 - Oleh: Azizah Ayub)
Sumber: Blog
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Isnin, 19 Mac 2012 02:10 |