Kampung Sungai Apong
Keusahawanan - Laman 2
Indeks Artikel
Keusahawanan
Kemas Kini: 28 Ogos 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

 

Keusahawanan

8,000 Biji Pau Sehari

Mustika Hati Enterprise (MHE) sudah terkenal sebagai syarikat yang menghasilkan kuih pau di Malaysia. Syarikat ini telah mendapat anugerah pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan anugerah kebersihan produk dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Mustika Hati telah diiktiraf antara syarikat milik bumiputera yang telah berjaya menghasilkan produk pembuatan makanan. Pada bulan Ogos 2009 yang lalu, pau yang dihasilkan oleh syarikat tersebut telah berjaya menerima anugerah pertama kategori produk hasilan makanan semasa menyertai Pertandingan Hari Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2009.

MHE telah diasaskan pada tahun 2002 oleh Musrigah Ismon. Menceritakan hal ini, suami Musrigah, Mohammad Nur Musnan yang merupakan Pembantu Pengurus MHE berkata, kuih pau mula diusahakan pada sekitar tahun 1994 secara kecil-kecilan. Musrigah memulakan pembuatan pau hanya di dapur rumahnya untuk dijual kepada gerai-gerai yang berhampiran. Pertambahan permintaan daripada pelanggan telah mencetuskan minat mereka untuk mengembangkan perniagaan itu. Pada peringkat awalnya, mereka telah mendapat khidmat nasihat, bimbingan dan bantuan dari Pejabat Pertanian Daerah Sabak Bernam. Di peringkat itu juga, mereka turut menerima bantuan berupa mesin penguli yang berharga kira-kira RM3,000 seunit, beberapa buah meja dan alat pemanas sumbangan Jabatan Pertanian.

Menceritakan secara ringkas mengenai pembuatan pau, Mohammad memberitahu, sebanyak 40 kilogram tepung gandum diperlukan berserta dengan gula, mentega, lemak sayur dan bahan penaik. Bahan tersebut dimasukkan ke dalam mesin penguli untuk disebatikan selama 20 minit. Air dicampurkan bersama-sama untuk memastikan tepung gandum yang diuli menjadi lembut. Tepung gandum yang sudah siap diproses dipindah ke mesin seterusnya sebelum proses memasukkan inti di dalam kuih pau. Kemudian, pau berkenaan dikukus selama 15 minit dan dibiarkan di atas meja sebelum dimasukkan ke dalam pendingin beku beberapa ketika untuk dibungkus. Sekiranya pau terus dibungkus dalam keadaan panas, ia tidak akan tahan lama.

Kini perniagaannya dibantu oleh enam orang pekerja yang terdiri daripada penduduk kampung. Pada setiap hari syarikat berkenaan menghasilkan 4,000 hingga 5,000 biji pau. Namun apabila ada majlis tertentu, penghasilan pau meningkat kepada 8,000 biji sehari dan mereka terpaksa mengambil pekerja sambilan.

MHE mengeluarkan lapan jenis kuih pau mengikut perisa iaitu inti kacang merah, kaya, kelapa, strawberi, pandan, ayam, daging lembu dan sardin. Ketahanan pau ini antara tujuh hingga lapan bulan sekiranya disimpan di tempat sejuk beku. Setiap pau yang telah siap dibungkus dijual mengikut harga berdasarkan jumlah pau di dalam sesuatu bungkusan.Misalnya pau yang dibungkus sebanyak lapan biji dijual berharga RM3.50 dan bungkusan 12 biji dengan harga RM3.70. Kata Mohammad, mereka juga memasarkannya di serata tempat termasuklah mengiklankan di sekitar Cyberjaya, Selangor. Kini, salah seorang anak lelakinya telah menjadi Pengurus Pemasaran dan menumpukan kepada pasaran di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya. Pau MHE ini turut dijual di pasar raya besar seperti Giant, Tesco, The Store, Mydin, Econsave dan lain-lain lagi dengan menggunakan nama Mustika Hati. (Kemas Kini: 28 Ogos 2009 - Oleh: Norjimi Azmi Latif)

 



Terakhir Dikemaskini pada Rabu, 18 Januari 2012 06:48
 

Perpustakaan Desa Sungai Apong, Jalan Beting Kepah, Kampung Sungai Apong, 45100 Sungai Air Tawar, Selangor Darul Ehsan.

Hit Paparan Kandungan : 17970
Kemas Kini :
19-03-2013 02:28