|
Laman 1 dari 2 
IKS Dan Usahawan Muda
Usaha kerajaan dalam menjayakan program Satu Kampung Satu Industri dan Pertanian Adalah Perniagaan di Kampung Sungai Apong mula menampakkan hasil. Hasil pertanian, penternakan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mula mendapat pasaran sama ada dalam mahupun luar negeri. Bagi memberi galakan kepada penduduk, Ahli Parlimen Sabak Bernam, YB Datuk Abdul Rahman Bakri pada awal bulan Disember 2009 baru-baru ini telah meninjau kegiatan ekonomi di situ. Beliau memberitahu, “penduduk kampung seharusnya mengusahakan kawasan tanah terbiar untuk dijadikan kawasan perladangan atau mengusahakan haiwan ternakan untuk mempertingkatkan taraf sosioekonomi. Sekiranya tidak mempunyai modal yang mencukupi dan kepakaran dalam bidang berkenaan, tanah berkenaan boleh dipajak dan diberi sewa kepada usahawan lain.”
Pada hari yang sama, YB yang diiringi Ketua Kampung, wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan beberapa orang pegawai Majlis Daerah Sabak Bernam telah melakukan lawatan ke kawasan yang menempatkan perusahaan IKS. Beliau tidak melepaskan peluang melawat pengusaha yang menghasilkan kerepek pisang, kuih-muih, rempeyek, kek dan keropok. YB memberitahu, usahawan tempatan ini bukan sahaja memajukan diri dan keluarga malah turut memajukan penduduk kampung dengan menyediakan peluang pekerjaan. Beliau menambah, sekiranya usahawan di Kampung Sungai Apong ingin membuat pinjaman kewangan bagi mengembangkan perniagaan, beliau bersedia untuk memberi sokongan terhadap permohonan berkenaan.
Pada jam 2.30 petang, YB meneruskan lawatan ke Kampung Sepintas yang terletak tidak jauh dari Kampung Sungai Apong untuk melihat sendiri beberapa orang usahawan muda yang telah berjaya mengusahakan tanaman limau purut dan tembikar susu secara komersial. Beliau terpegun dengan kegigihan usahawan berkenaan yang boleh menanam ketika musim hujan melalui kaedah perparitan yang sistematik. (Kemas kini: 23 Disember 2009 - Oleh: Norjimi Azmi Latif)
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 21 Januari 2011 02:02 |