Padang Rengas
Perak Darul Redzuan
Keusahawanan

Labu Sayong Warisan Berzaman

Perusahaan seni tembikar tradisional terkenal di Semenanjung Malaysia mula dikenali sejak zaman berzaman dan masih lagi diteruskan sehingga kini. Salah satu warisan tradisional ini  ialah Labu Sayong.

Labu Sayong biasanya berwarna hitam dan banyak terdapat di Sayong, Daerah Kuala Kangsar, Perak. Hasil daripada seni kraf tangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak mengikut daya kreativiti si pembuatnya dan diasapkan serta dibakar untuk menghasilkan reka bentuk yang indah dan berseni. Sebut sahaja Labu Sayong maka akan terbayanglah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman. Namun kini, bukan sahaja warna hitam yang menjadi pilihan pelanggan, warna coklat muda dan sebagainya semakin mendapat tempat dengan reka bentuk yang menarik.

Salah seorang pengusaha Labu Sayong yang terdapat di Padang Rengas ialah Zaleha Pandak Sidek, 49 tahun yang telah mengusahakan perusahaan membuat dan menjual produk Labu Sayong sejak tahun 2002. Perusahaan yang diturunkan sejak zaman berzaman ini seakan sudah sebati dalam jiwa beliau dan turut menggalakkan anaknya untuk melibatkan diri dalam bidang yang sama.

Selain itu, terdapat juga beberapa organisasi kerajaan, swasta dan institusi pendidikan yang berkunjung dan membuat lawatan ke tapak pembuatan Labu Sayong miliknya. Walaupun hanya berniaga secara kecil-kecilan, beliau tetap tidak menang tangan untuk melayan kerenah pelanggan yang ingin mendapatkan variasi produk yang dikeluarkannya hampir setiap hari. Antara yang menjadi pilihan ialah jenis Gelugor, Labu Licin, Labu Bulat, Labu Lepap dengan harga serendah RM2.00 sehinggalah RM40.00 sahaja.

Jika dahulu, labu hitam biasanya digunakan sebagai bekas menyimpan air. Namun, kini ia lebih kepada perhiasan atau cenderamata. Menurut Zaleha, antara keistimewaan labu hitam ialah ia boleh menyejukkan air dan dipercayai boleh merawat beberapa jenis penyakit seperti batuk, demam panas dan sebagainya. Selain itu, ia turut digunakan sebagai bekas menyimpan air sewaktu menziarahi tanah perkuburan. Tidak kira apa jua kegunaan Labu Sayong, ia tetap diminati kerana keindahan dan nilai estetika barangan tembikar itu sendiri. Semoga warisan ini akan tetap terpelihara dan menjadi kebanggaan kepada generasi muda kini.

Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 25 Mac 2010 03:50
 

Perpustakaan Awam Padang Rengas, 33700 Padang Rengas, PERAK DARUL RIDZUAN.

Hit Paparan Kandungan : 19546
Kemas Kini :
07-02-2013 04:38