|
Laman 1 dari 4 
Memukau Jiwa
Keindahan pantai Pulau Song Song yang memutih dihiasi pula dengan lambaian pohon nyiur, sudah pasti menggamit perasaan pengunjung ke situ. Persekitarannya yang nyaman dan tarikan khazanah laut yang pelbagai menjadikan pulau tersebut begitu unik. Di dasar lautannya pasti menjanjikan pengalaman yang begitu indah bagi penggemar aktiviti snorkeling dan penyelam dasar laut. Bagi yang inginkan ketenangan jauh dari hiruk pikuk kota, Pulau Song Song merupakan lokasi yang ideal kerana tiada kenderaan mahupun talian telefon. Pengunjung hanya akan dihiburkan dengan deruan ombak menghempas pantai dan tiada bangunan pencakar langit. Pulau Song Song terletak di Perairan Yan dan memakan masa kira-kira 35 minit dari Jeti Tanjung Dawai atau hanya 15 minit dari Jeti Sungai Udang, Yan.
Pulau yang merupakan salah satu pulau terindah di Utara Selat Melaka menyimpan pelbagai spesies ikan yang berwarna-warni serta terumbu karang yang cantik. Antara spesies ikan yang terdapat di situ adalah ikan alu-alu, manta rays, whalesharks dan bumphead. Menurut Pengurus Song Song Holidays, Syde Basel Abdun, Pulau Song Song merupakan satu tinggalan sejarah. Sebelum 2008, para nelayan dan orang ramai tidak dibenarkan mengunjungi perairan pulau tersebut berikutan ia digunakan untuk tujuan latihan menembak peluru berpandu oleh pesawat pejuang Tentera Udara Australia. Menurut beliau, tentera Australia telah mengambil alih pulau tersebut dari Tentera British sejak tahun 1940-an dan menjadikan pulau tersebut sebagai lokasi ujian menembak peluru. Selepas perjanjian dengan kerajaan Malaysia tamat, Pulau Song Song telah diserahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pertahanan.
Syde Basel memberitahu, pihak Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan kelulusan kepada syarikat swasta untuk menjalankan operasi mengambil kelongsong peluru. Setelah beberapa tahun pulau tersebut tidak terjaga, pihak Song Song Holidays telah mengambil inisiatif membersihkan kawasan Pantai Batu Kawi seluas 3.5 hektar untuk kemudahan orang awam. Pihaknya turut memperbaiki bangunan usang tinggalan tentera dan mewujudkan tandas bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke situ. Kini Pulau Song Song dibuka kepada orang ramai malah pihak Song Song Holidays tidak mengenakan sebarang bayaran kepada orang ramai yang inginkan percutian yang mendamaikan. Orang ramai yang berminat mengunjungi ke Pulau Song Song bolehlah menghubungi Song Song Holidays di talian 04-4217000. (KK11: 20 September 2011 – Oleh: ALina Zaireen Ismail)
|
|
Terakhir Dikemaskini pada Rabu, 25 Januari 2012 02:39 |